Penggunaan
Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik : Pelaksanaan dan Cabaran
Oleh : Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi dan
Nor Azami Noor
Daripada :
Sejak perlaksanaannya, Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) terus hangat
diperkatakan tentang kebaikan, keburukan, cabaran serta kesannya terhadap
sistem pendidikan negara baik di peringkat pemimpin tertinggi, para pendidik,
ibu-bapa maupun di kalangan pelajar itu sendiri. Tidak kurang juga yang menjalankan
kajian secara ilmiah dan terperinci semenjak ianya masih dalam proses
perancangan sehinggalah fasa perlaksanaan pada tahun 2003.
Jurnal Pendidikan 2005, terbitan Universiti
Malaya yang bertajuk Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik:
Pelaksanaan dan Cabaran, merupakan satu kajian berkaitan PPSMI yang telah dijalankan
oleh Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi dan Nor Azmi Noor menerusi
soal selidik terhadap 120 respoden
yang terdiri daripada guru-guru dari sekolah menengah dan rendah yang telah
menghadiri kursus ETeMS (English For Teaching Mathematics And Science) pada
tahun 2004.
Objektif kajian tersebut adalah
bagi mendapatkan pandangan sebenar guru-guru terhadap perlaksanaan PPSMI serta
kesan-kesannya kepada murid dan pelajar disamping meneliti tahap keberkesanan
kursus ETeMS yang telah mereka ikuti. Bagi menyokong dapatan kajian, para
penyelidik juga turut menganalisa keputusan peperiksaan mata pelajaran sains
dan matematik tingkatan satu di antara sekolah luar bandar dan sekolah bandar
selepas pelaksanaan Dasar PPSMI.
Dasar PPSMI telah mendapat
kelulusan kabinet dan dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun 2003 yang membabitkan
pelajar tahun 1 di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
(SJKT) serta pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan Enam Rendah di Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK). Meskipun pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak terlibat
secara langsung dalam perlaksanaan dasar ini, namun ia kemudiannya
diperkenalkan secara berperingkat kepada mereka seiring dengan penggunaan
bahasa ibunda sekolah tersebut.
Menurut Tan Yao Sua (2008), idea
asal perlaksanaan dasar PPSMI adalah berikutan kekhuatiran kerajaan terhadap
kemerosotan mutu dan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar
negara ini yang dibimbangi akan menjejaskan kemampuan mereka untuk memperoleh
pengetahuan
dalam bidang sains dan teknologi
bagi menghadapi cabaran zaman teknologi maklumat dan globalisasi. Setelah
pelaksanaan dasar tersebut, pelbagai pihak mula menjalankan penyelidikan terhadap
keberkesanan dan cabaran menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
dalam pengajaran dan pembelajaran subjek matematik dan sains.
Dapatan kajian oleh Che Wan Jasimah
Wan Mohamed Radzi dan Nor Azmi Noor menyatakan bahawa 79% daripada 120 orang
guru menyokong dan bersetuju dengan perlaksanaan PPSMI. Guru-guru juga
bersependapat bahawa murid sekolah rendah lebih berminat terhadap pengajaran
dan pembelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris berbanding
pelajar sekolah menengah. Keadaan ini menunjukkan bahawa pelajar yang berada
pada tahap permulaan lebih mudah menerima dan memahami, kerana penggunaan
bahasa Inggeris dalam mata pelajaran berkenaan telah dilaksanakan di peringkat
awal lagi berbanding pelajar sekolah menengah yang mana sebelum ini mereka
mempelajari mata pelajaran berkenaan dalam bahasa Melayu. Selain dari itu,
hasil kajian juga menunjukkan bahawa, mata pelajaran matematik lebih mudah
difahami pelajar berbanding mata pelajaran sains apabila ia di ajar di dalam bahasa
Inggeris. Ini berikutan maklum balas daripada guru dan murid yang menyatakan
bahawa mata pelajaran sains lebih banyak menggunakan isilah saintifik
berbanding mata pelajaran matematik yang banyak menggunakan nombor dan simbol
sahaja. Ini terbukti melalui perbandingan keputusan peperiksaan mata pelajaran
sains dan matematik tingkatan satu di sekolah luar bandar dan bandar sebelum
dan selepas pelaksanaan PPSMI yang menunjukkan pencapaian matematik meningkat
sebanyak 17.05% berbanding pencapaian mata pelajaran sains yang menunjukkan
kemerosotan sebanyak 28.25%.
Berhubung dengan keberkesanan
kursus ETeMS pula, Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi dan NorAzmi Noor mendapati
93% guru-guru yang mengajar sains dan matematik menyokong penganjuran kursus
tersebut kerana ia telah banyak membantu serta memberi pendedahan kepada
mereka di dalam mengajar mata
pelajaran tersebut dengan lebih berkesan walaupun kursus ini mengganggu proses
pengajaran dan pembelajaran di sekolah terutamanya dalam menghabiskan sukatan
mata pelajaran berkenaan.
Rumusan dan Pandangan Peribadi
Walaupun hasil kajian menunjukkan
sebahagian besar guru-guru dan murid telah memberi respon yang positif, namun
selepas setahun perlaksanaannya, PPSMI mula mendapat tentangan serta reaksi
negatif di kalangan ibu-bapa dan guru-guru berikutan kegagalan pelajar memahami
mata pelajaran sains dan matematik disebabkan oleh ketidakupayaan menguasai
bahasa Inggeris dengan baik. Meraka di katakan gagal dalam pelajaran disebabkan
oleh kekangan bahasa. Di samping itu, pelaksanaan PPSMI juga turut mengundang
percanggahan pendirian dan pendapat yang begitu hebat di antara golongan
intelek Melayu dan pendidik Cina yang mempersoalkan kewajaran bahasa Inggeris
yang bukan merupakan bahasa keluarga itu digunakan sebagai bahasa pengantar
dalam proses pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik sehingga
meminggirkan bahasa ibunda yang digunakan sekian lama. Jurang pendapat yang
ketara ini berterusan sehingga akhirnya mendesak kerajaan memansuhkan dasar
PPSMI pada tahun 2009 dan menggantikannya dengan dasar Memartabatkan Bahasa
Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Menurut Tan Sri Muhyiddin
Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, melalui
dasar MBMMBI pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains akan dilaksanakan
sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada tahun 2016 manakala untuk sekolah
menengah akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2012 (Kosmo, 5 November 2011).
Di bawah dasar MBMMBI, kepentingan bahasa Inggeris tidak diabaikan malahan
pihak Kementerian Pelajaran sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang
lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, misalnya
penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, penambahbaikkan
Kurikulum bahasa Inggeris di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR),
pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru bahasa
Inggeris serta penyediaan bahan sokongan berkualiti seperti bahan bacaan dan
digital. Secara peribadi, saya sebagai seorang guru berpendapat perlaksanaan
MBMMBI bagi menggantikan PPSMI merupakan satu langkah wajar yang diambil
kerajaan memandangkan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris perlu saling melengkapi
sebagai bahasa pengantar untuk pembelajaran sains dan matematik, terutamanya
pada peringkat pendidikan formal. Hal ini adalah kerana keberkesanan
pembelajaran menerusi bahasa ibunda sudah terbukti kejayaannya. Sementara itu,
kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa sains dan teknologi juga tidak boleh
dipandang remeh. Justeru itu, perlu ada kompromi dalam penggunaan kedua-dua
jenis bahasa ini sebagai bahasa pengantar untuk mengajar sains dan matematik.
Adalah menjadi harapan kami sebagai warga pendidik agar dengan pemansuhan PPSMI
dan perlaksanaan MBMMBI, usaha untuk mendaulatkan bahasa ibunda akan mencapai
objektif sebenar di samping meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris serta ilmu
sains dan matematik di kalangan pelajar. Kesimpulannya, berjaya atau tidak
pelaksanaan sesuatu dasar itu adalah bergantung kepada kesungguhan dan
kerjasama yang baik dari pelbagai pihak termasuk pemimpin tertinggi, guru-guru,
ibu bapa dan juga pelajar itu sendiri.
No comments:
Post a Comment