Thursday, 7 November 2013

DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS (MBMMBI)



1.0 PENGENALAN

Dasar memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)

Dasar memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) merupakan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan setelah pemansuhan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009.

      Strategi memartabatkan Bahasa Malaysia melibatkan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar bagi Mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan dan menengah serta penambahbaikan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia. Tujuan utama memartabatkan bahasa Malaysia adalah kerana bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu kearah membina Negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.

Manakala strategi memperkukuh penguasaan bahasa inggeris melibatkan penambahbaikan kurikulum bahasa inggeris serta penyediaan guru dan bahan yang mencukupi dan berkualiti bagi melaksanakan kurikulum tersebut. Tujuan utama bagi memperkukuh bahasa inggeris adalah kerana bahasa binggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.

Selain itu, pelaksanaan dasar ini adalah salah satu cara untuk mentransformasikan kurikulum BM dan BI disamping memantapkan kapasiti guru BM dan BI serta berkongsi kepakaran penutur jati BI  dan guru kontrak. Ia juga dapat memperluaskan penggunaan bahan dan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam BM dan BI. Di samping itu, penempatan bagi  guru BM dan BI mengikut opsyen ikhtisas serta dapat meningkatkan penyertaan murid dalam aktiviti bahasa dan mengukur pencapaian murid berdasarkan standard prestasi (PBS).

Matlamat utama MBMMBI adalah melahirkan warga Malaysia yang fasih dan yakin untuk menggunakan BM dan BI yang standard, membina modal insan yang mampu mengakses pelbagai bidang ilmu melalui pelbagai media seperti ICT serta membentuk 1Malaysia yang mempunyai jati diri yang kuat, progresif, dinamik dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa kearah mencapai Negara maju.



2.0 ISU-ISU TERKINI DALAM PELAKSANAAN DASAR MEMARTABAT BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

2.1 ISU BAHASA: MBMMBI IMBANGI PENGUASAAN DUA BAHASA UTAMA

Bahasa merupakan alat perhubungan yang penting dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa seseorang itu dapat berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, buah fikiran, pengetahuan, mendapatkan informasi, menambahkan ilmu pengetahuan, memahami orang lain dan sebagainya (Raminah Hj. Sabran, 1993). Pembelajaran bahasa secara formalnya berlaku di sekolah. Oleh itu, guru-guru bahasa Melayu memainkan peranan yang utama bagi memastikan murid-murid di sekolah dapat mempelajari bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya.

Kepentingan terhadap penguasaan bahasa lebih ketara dalam bidang  pendidikan kerana bahasa menjadi medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahasa digunakan dalam interaksi lisan antara guru dengan murid. Hal ini jelas dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia (Melayu) sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Banyak aktiviti dan kemahiran yang menekankan aspek-aspek kemahiran bahasa dalam sukatan pelajaran. Perkara ini diberi tumpuan utama bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran bahasa Melayu iaitu membolehkan murid-murid mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Oleh itu, guru bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan murid-murid mereka dalam penguasaan bahasa Melayu. Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt dan Ab. Rahim Selamat (1997) menggariskan empat peranan guru bahasa Melayu iaitu sebagai perancang pengajaran dan pembelajaran, penggerak dan pendorong pengajaran dan pembelajaran,  pembimbing murid dan pemupuk semangat, serta pembentuk sahsiah murid.

Hasil daripada kajian lapangan mendapati murid sukar memahami pengajaran Matematik, Sains dalam Bahasa Inggeris. Oleh kerana itu, Kementerian Pelajaran pada 2010 menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada 2011 yang mana murid Tahun Satu pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan Satu menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak mereka yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak. Kabinet memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan Satu bermula tahun hadapan.

Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI, iaitu murid Tahun Dua hingga Tingkatan Lima tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam BI sehingga tamat Tingkatan Lima dapat melegakan hati ibu bapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terjejas.

Dengan pendekatan soft-landing ini, pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada 2021.

Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah sudah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan, kurang lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Manakala pada peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah kelas di 2,192 sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains.

                Berdasarkan dapatan ini, kebanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematikdan Sains dalam bahasa Malaysia. Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Hasil kajian lapangan yang dijalankan kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid mendapati murid sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

                Murid mengambil masa lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran terbabit. Masalah seperti ini bukan saja dialami sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu Matematik dan Sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.

Antara inisiatif terbabit ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

                Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

 
 
3.0 KESIMPULAN

       Kementerian perlu merancang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan berkesan. Justeru, kemampuan melahirkan guru bahasa Inggeris berkualiti amat penting supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan, menarik dan bersifat pembelajaran yang menyeronokkan. Dasar MBMMBI yang menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI bukan sahaja prinsip pendidikan yang bestari, tetapi pelan tindakan untuk menjamin pelestarian warisan linguistik bahasa Melayu.

Hal itu dikatakan demikian kerana dasar MBMMBI akan memastikan generasi muda Malaysia cekap dalam penggunaan bahasa Inggeris iaitu bahasa antarabangsa terpenting pada masa ini melalui pendekatan yang lebih berwaspada tentang imperialisme bahasa Inggeris yang jika tidak diselenggarakan dengan baiknya, akan menyebabkan peminggiran bahasa Melayu di tanah watannya sendiri. Walau bagaimanapun, perkara yang lebih penting tentang dasar tersebut ialah generasi muda kita akan terus menyokong dan menghayati peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Oleh itu, dasar tersebut akan memastikan aspek budaya pada ekologi linguistik negara yang ikut diwarnai bahasa Inggeris, khususnya yang berkenaan dengan jati diri budaya negara Malaysia, akan terus dilindungi dalam era globalisasi, yang sudah memperlihatkan peminggiran banyak bahasa, lebih-lebih lagi yang kecil dan tidak terkecuali juga beberapa bahasa besar, oleh bahasa antarabangsa itu.






RUJUKAN
Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt & Ab. Rahim Selamat. (1997). Pengajian
Melayu I. Petaling Jaya: Longman.

Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM]. (1983). Sukatan pelajaran sekolah
rendah bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM]. (2001). Sukatan pelajaran kurikulum
bersepadu sekolah menengah bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wednesday, 6 November 2013

ULASAN ARTIKEL 1




Pemansuhan Dasar PPSMI : Tinjauan daripada Persepsi Parti Politik, Ahli Akademik dan NGO  serta pengalaman sekolah.
Oleh                :           Juniadi Awang Besar  dan Mohd Fuad Mat Jali
Daripada         :           https://docs.google.com/file/d/0BwULvuwQ1fl6Q2NFM1VpSWRuZkk/edit

Jurnal ini ditulis bagi menyokong pemansuhan dasar PPSMI. Jurnal ini ditulis bersadarkan kepada beberapa kajian yang telah dibuat sekitar tahun 2004 – 2008 di sekolah-sekolah terpilih di negeri Selangor dan Terengganu. Penulisan jurnal ini dibuat dengan menyatakan beberapa pendapat dari pelbagai sektor yang berkaitan dengan bidang pendidikan. Pendapat-pendapat yang diterima disertakan dengan bukti-bukti yang diperolehi daripada kajian lapangan yang telah dijalankan.

Melalui jurnal ini juga, dinyatakan beberapa bentuk kajian ilmiah lain yang telah dijalankan oleh ahli akademik yang lain. Beberapa kajian menunjukkan perubahan bahasa pengantara dalam sesi pengajaran dan pemebelajaran memberikan kesan yang negatif terhadap pencapaian dan minat pelajar untuk mengikuti pengajian tersebut. Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Ho pada tahun 1989, perubahan bahasa pengantar di dalam pengajaran bahasa Cina dan Matematik kepada bahasa Inggeris memberikan kesan yang negatif kepada pencapaian pelajar. Pencapaian pelajar-pelajar di kawasan luar bandar juga menunjukkan penuruhan tahap pencapaian pelajar apabila dasar PPSMI diperkenalkan oleh kerajaan ( Mohamad Nasir Saludin et. all , 2002).

Selain daripada permasalahan yang berlaku dari aspek pemahaman pelajar, aspek ketidupayaan guru di dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris juga menimbulkan banyak masalah semasa pelaksanaan dasar PPSMI ini. Faktor ketidaksediaan guru di dalam menjalankan proses pengajaran menggunakan bahasa Inggeris menimbulkan isu yang sangat besar. Guru-guru tidak mampu untuk berinteraksi dengan pelajar semasa proses pengajaran dijalankan. Kedaan ini menimbulkan satu suasana yang membosankan di dalam kelas dan seterusnya mengurangkan minat pelajar untuk belajar subjek tersebut.

Pelbagai pendapat dilontarkan oleh ahli-ahli politik mengenai dasar PPSMI ini. Bagi ahli politik daripada parti UMNO yang merupakan tunjang kepada kerajaan yang memerintah, mereka menyatakan sokongan kepada dasar PPSMI ini, namun menyarakan beberapa kajian yang perlu dilakukan bagi membolehkan pelaksanaan dasar ini dijalankan dengan lebih sempurna. Begitu juga dengan parti MCA, pemimpin mereka kurang bersetuju dengan pelaksanaan dasar penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran sains dan matematik di sekolah rendah aliran Cina. Mereka meminta supaya sekolah rendah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dikecualikan daripada pelaksanaan dasar ini.

Bagi parti KEADILAN, mereka menentang sekeras-kerasnya pelaksanaan dasar ini kerana bagi mereka, dasar ini akan mengakibatkan kehilangan identity bahasa Malaysia yang dijadikan bahasa rasmi mengikut peruntukan perlembagaan. Parti DAP juga turut tidak bersetuju dengan pelaksanaan dasar ini tetapi pada masa yang sama menyokong sebarang usaha daripada pihak kerajaan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan pelajar di negara ini. Parti PAS menyokong usaha memansuhkan dasar PPSMI kerana bagi mereka bahasa ibunda adalah basah terbaik di dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran.

Bagi ahli-ahli akademik dan badan NGO, usaha pemansuhan dasar PPSMI adalah satu usaha yang sangat baik bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar dapat berjalan dengan lebih baik dan mampu menghapuskan kesan terhadap jurang yang wujud bagi kalangan pelajar luar bandar dan pelajar bandar. Penagalaman di sekolah juga menunjukkan graf minat mengikuti pembelajaran sains dan matematik menunjukkan penurunan yang ketara di sekolah luar bandar.

Kesimpulan yang dapat dibuat disini pemansuhan dasar PPSMI adalah sesuatu yang sangat tepat. Perubahan bahasa pengantar semasa proses pengajaran dan pembelajaran amat mengganggu pelajar dalam mengikuti pembelajaran. Pelbagai kekurangan dapat dilihat sewaktu pelaksanaan dasar PPSMI, namun usaha kerajaan di dalam meningkatkan graf pencapaian pelajar melalui pengenalan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) harus disokong sepenuhnya kerana ia dilihat sebagai medium yang terbaik di dalam memastikan pelajar kita mampu bersaing diperingkat global.



Tuesday, 5 November 2013

ULASAN ARTIKEL 2




Menyiasat Framing Berita : Kajian Pembandingan Liputan Media Isu-isu Pendidikan Kontemporari di Malaysia
Oleh                :           Chew Chee Khiang, Fauziah Ahmad, Faridah Ibrahim & Chang Peng Kee
Daripada         :           https://docs.google.com/file/d/0BwULvuwQ1fl6LVNBMy1va2xWblU/edit

Kajian ini dijalankan untuk melihat bagaimana akhbar bahasa Melayu dan akhbar bahasa Cina menggambarkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Kajian menggunakan kedua-dua akhbar sebagai medium utama untuk melihat bagaimana liputan berita yang dibuat terhadap isu tersebut.

Mengambil dua isu utama iaitu isu PPSMI dan isu MBMMBI sebagai tajuk utama, kajian ini dihasilkan untuk melihat bagaimana liputan berita dibuat berdasarkan kepada lima bingkai ganerik yang dikemukakan oleh Semetko & Valkenburg (2000) sebagai asas pembandingan. Lima bingkai tersebut meliputi bingkai tanggungjawab, bingkai konflik, bingkai moral, bingkai kesan ekonomi dan bingkai kepentingan manusia.

Dalam isu PPSMI dapat dilihat di dalam kedua-dua akhbar, bingkai konflik adalah merupakan bingkai utama yang menjadi laporan di dalam kedua-dua akhbar. Pelbagai isu berkenaan dengan PPSMI ditulis dengan menekankan kepada aspek konflik yang berlaku sama ada ia melibatkan kalangan pelajar, guru mahupun ibubapa. Pelbagai padangan diambil sama ada pandangan yang dilontarkan oleh cendiakawan akademik mahupun ahli-ahli politik. Semua berita yang dilaporkan diolah dengan menekankan kepada konflik yang berlaku.

Berbanding dengan isu PPSMI, isu MBMMBI iaitu satu dasar baru yang dikemukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menggantikan dasar PPSMI akhbar bahasa Melayu menunjukkan bentuk laporan yang lebih positif dalam meyokong dasar ini berbanding dengan akhbar berbahasa Cina yang terus menekankan aspek konflik yang bakal berlaku atas pelaksanaan dasar tersebut.

Dapat disimpulkan bahawa, akhbar memainkan peranan yang cukup besar di dalam melaporkan sesuatu isu. Penerimaan rakyat atau pembaca akan dipengaruhi oleh bentuk laporan yang ditulis di dada-dada akhbar sama ada dalam akhbar berbahasa Melayu mahupun akhbar berbahasa Cina.